August 15, 2011

Gelagat jemaah terawih wanita di masjid negeri

Perkara ni sebenarnya agak membuatkan hati saya sayu. Sedang jemaah mengerjakan solat terawih (saya di masjid tapi waktu tak dapat ikut imam utk solat terawih kerana anak saya (setahun 7 bulan) sudah merayau-rayau jadi saya kena jaga takut-takut dia menganggu jemaah lain). Kanak-kanak lain biasalah bila di belakang ni banyak gelagatnya. Seperti kebiasaannya juga ada beberapa orang makcik dan pakcik yg memang dibayar untuk menjaga ketenteraman masjid ketika orang sedang bersolat di dewan solat.

Yang membuatkan hati saya sayu ialah ada seorang makcik ni (dirahsiakan namanya sebab saya pun memang tak tahu huhu), sedang menjalankan tugas 'memarahi' kanak-kanak yang ada disitu untuk duduk diam-diam. Ada seorang tu umurnya mungkin dalam 5 tahun sedang duduk diam tapi dalam keadaan meniarap sambil menunggu emaknya habis solat, ditepuk punggungnya oleh makcik petugas tadi disuruh duduk kat tepi dinding. Satu lagi senario ialah (ini paling sayu) ada seorang kanak-kanak perempuan berumur dalam 3-4 tahun dalam keadaan yang amat cemas dan sangat takut (nampak jelas di riak wajahnya) apabila dia tidak berjaya membuatkan adiknya (dalam umur setahun) untuk berhenti menangis nak menyusu ketika makcik petugas tadi merenung bengis dirinya kerana adiknya 'buat bising'. Ibu mereka yang berada berdekatan sedang sesegera mungkin cuba utk habiskan solatnya (tak ikut imam pun kerana dia solat di belakang utk menjaga anak-anaknya).

Setelah melihat senario ini saya sudah jadi tak boleh duduk diam. Saya bangun dan menegur makcik petugas tersebut. Sambil memegang kedua2 bahunya;

Saya: Kak sabar kak, jangan cakap dgn budak-budak marah-marah macam tu. Diorang tak faham pun. Cuba berlembut sikit.

Makcik Petugas: Saya dah puas berlembut dah dengan mak-mak diorang ni tapi tak faham-faham juga. Budak-budak ni bising, nanti Imam marah saya.

Saya: Yelah, tapi cakap jugalah baik-baik kak. Terangkan juga pada Imam elok-elok, jangan marah-marah. Takpe kak, akak dapat pahala buat kerja ni. Besar pahala akak. Cuma kena sabar je.

Makcik Petugas: Ye saya tahu saya dapat pahala. Kalau Imam marah nanti, bukan kamu semua yg kena marah tapi saya juga yg kena marah.

Saya: Yelah akak, akak dapat pahala kak. Sabar je ye. Budak-budak mana faham kena marah-marah gitu..

Saya pun kembali ke tempat duduk. Memang situasinya di belakang tu ramai ibu-ibu yg bertelekung dan berseiap sedia utk solat terawih mengikut imam tapi tak dapat berbuat demikian sebab anak-anak kecil mereka 'tidak membenarkan'. Namun terdetik dalam hati saya, ibu-ibu ini tetap akan dapat pahala iktikaf di masjid walaupun tidak dapat berterawih bersama imam.

Boleh juga sebenarnya anak-anak kecil ini dihantar di nurseri yg disediakan oleh pihak masjid di bawah tapi yelah faham juga mungkin kerana kasihankan anak2 ini yg memang sudah seharian duduk di nurseri waktu ibu-ibu mereka bekerja...Tambahan pula anak-anak ini di waktu malam mereka memang tak biasa duduk di nurseri, mahu tidur di samping ibu-ibunya...Lagipun, kalau anak-anak ini dihantar ke nurseri, mereka tidak dapat belajar melihat orang bersolat jemaah gitu. Kalau nak duduk di tingkat bawah pun boleh juga tapi 'zouq' nya tak sama sebab speaker tingkat bawah tidak sekuat di tingkat atas dan tidak nampak jemaah sembahyang bersama..semuanya bertaburan.

Apa-apapun saya tidak menyalahkan makcik petugas tadi kerana beliau cuma menjalankan tugasnya. Saya minta maaf mungkin kerana ada ibu-ibu semacam saya ni yg bawa anak-anak ke masjid menyukarkan beliau utk menjalankan tugas. Kalau orang kata kami ni pentingkan diri sendiri, betul juga. Yelah Ramadhan setahun sekali, kami juga nak recharge iman berterawih di masjid. Bagi saya, orang yg tidak perlu bawa anak ke masjid pun 'pentingkan diri sendiri' jika mereka fikir anak-anak ini menyusahkan mereka utk khusyuk bersolat di masjid. Cumanya saranan saya kepada ibu-ibu yg membawa anak-anak ke masjid, kena pandai kawal anak-anak. Yang penting pastikan mereka tidak mengotorkan masjid, tidak terlalu bising, tidak menyelongkar beg2 jemaah yg tgh solat dan seboleh-bolehnya tidak menganggu jemaah lain.

Diantara sebab utama saya bangun menegur makcik petugas tadi ialah kerana saya memikirkan, jangan esok lusa anak-anak kecil ni berasa 'takut' utk ke masjid kerana nanti 'kena marah'. Takut-takut dibawa sampai ke besar pula anak-anak ini buat perangai 'takut' nak ke masjid ni. Lagi satu, effectnya mungkin pada orang-orang muda (yg ada anak-anak kecil ni). Kalau nak tunggu anak-anak ni sampai ke besar baru nak ke masjid, alamatnya mau dalam 10-15 tahun agaknya mereka tak jejakkan kaki ke masjid.

Oklah malam ni saya tak ke masjid negeri (masih trauma dgn scene anak kecil tadi ketakutan dan cemas dimarahi makcik petugas kerana tak dapat menenangkan adiknya yang sedang menangis sebab ibu mereka sedang bersolat). Nak terawih di rumah kawan pulalah...

No comments: