September 10, 2013


SAJAK: JAMPI BANGSAKU

Bismillahirrahmanirrahim
Hai bangsaku aku tahukan asalmu
Ribuan tahun punya hak dan pertuanan di sini
Punya kekuatan punya peradaban
Punya kebenaran punya keagungan
Punya ketuhanan punya kebudayaan

Hai bangsaku aku tahukan asalmu
Akar jiwamu memegang darahku
Batang hatimu menjadi tubuhku
Daun aqalmu melitup zat dan sifatku,
Bangsaku jangan mengubah rupa
Bangsaku jangan meleka sambil melewa
Biarlah utuh diujian sepanjang masa

Hai bangsaku,
Seribu lupa selaksa sedar
Tawarlah segala yang lupa
Dari hikmatan kebendaan dan kepuraan
Dari hikmatan peniruan dan kesesatan
Tawar sekali dari bisa onar dan kemusnahan,
Jika bisa pada jiwa tawar pada hati
Bisa pada aqal tawar pada aqal
Tawarlah pada segala wujud keperibadian kita
Pulang pulih seperti keadaan asal

Hai bangsaku aku tahu usulmu
Jatuh di segala ceruk rantau alam ini
Jatuh di utara jatuh di selatan
Jatuh di timur jatuh di barat,
Janganlah pula duduk tunggu, jaga mengilas siku.

Hai bangsaku,
Aku mintamu pindah balik segala kekuatan
Segala peradaban, segala kebenaran
Segala keagungan dan segala-galanya
Memulia dan meneruskan kegemilangan

Biarlah utuh diuji zaman-berzaman
Itulah asalmu tapakmu bersenang
Masa kini dan akan datang,
Aku hendak minta kepadamu
Pulang pulih seperti keadaan asal
Sebab, belum cukup belum genap belum sampai ajal
Bukan kuasa aku tp dengan kuasa Allah
Berkat kita kata: Lailaha illallah Muhammadar Rasulullah

September 09, 2013

Untungnya menjadi golongan ‘Assabiqun’

Untungnya menjadi golongan ‘Assabiqun’ Dialah perancang majlis, dialah ‘driver’, dialah tukang masak, dialah tukang susun kerusi, dialah MC program dan dialah juga tukang ‘follow up’. Pendek kata, dialah segala-galanya. Situasi ini adalah biasa di tempat-tempat yang mana dakwah baru mahu mula bercambah serta kurang pula orang yang punya semangat untuk berdakwah. Oleh kerana kefahaman dan kecintaannya terhadap agama, maka dia sanggup berkorban lebih untuk memastikan tuntutan kalimah syahadah yang dilafazkan dipenuhi haknya.

Walaupun sebenarnya dia punya pilihan untuk jadi sahaja seperti rakan-rakannya yang biasa-biasa. Yang punya banyak masa untuk memikirkan keadaan tentang diri sendiri, yang punya banyak masa untuk pastikan kehidupan untuk diri sendiri dapat diaturkan dengan sangat terperinci. Namun tidak. Dia memilih untuk tidak hidup hanya untuk diri sendiri. Dia mahu hidupnya dikongsikan bersama ummah ini. Masalah orang sekeliling, menjadi masalahnya juga walaupun dia sendiri berhadapan dengan seribu satu masalah. Tapi keyakinannya terhadap janji-janji Allah membuatkan dia untuk lebih kuat dan tabah.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." - At-Taubah: 111

Ya, Allah dah beli! ALLAH DAH BELI! Mana mungkin kita tak mahu bagi apa yang Allah dah beli. Dan rupanya bukan calang-calang harga diri kita ini. Harganya syurga. Ya, harga yang dibayar oleh Allah untuk dapatkan balik diri dan harta ini ialah syurga! Apa lagi yang kita mahukan selain syurganya? Sebuah tempat yang mana kita boleh dapat apa-apa sahaja yang dipinta. Sebuah tempat yang mana kita boleh dapat apa sahaja yang kita tak dapat miliki semasa di dunia. Sebuah tempat yang mana hanya diduduki oleh orang-orang yang baik-baik sahaja.

Dunia yang sementara ini akan berakhir. Tidak mungkin kita akan hidup buat selama-lamanya. Tidak mungkin kita akan berkekalan dalam mengejar keseronokan dunia. Semuanya akan berakhir. Dan tatkala ia berakhir, manusia akan terbahagi kepada 3 golongan; ‘Ashabul maimanah’ (golongan pihak kanan), ‘Ashabul masy’amah’ (golongan pihak kiri) dan yang paling istimewa sekali digelar ‘Assabiqun’ iaitu orang-orang yang telah mendahului dalam mengerjakan kebaikan di dunia. Dan di antara 3 golongan ini, golongan ke-3 lah yang akan mendahului yakni mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak. Ini menunjukkan betapa istimewanya kedudukan mereka di sisi Allah. (Rujuk surah Al-Waqi’ah)

Subhanallah betapa beruntungnya jika dapat menjadi golongan ‘Assabiqun’ ini! Iaitu orang-orang yang telah mendahului dalam mengerjakan kebaikan di dunia. Merekalah ‘pioneer’, perintis, pencetus amal, pemula dakwah. Ibarat mereka yang menyertai Badar. Menggagahkan diri untuk berperang tanpa dijanjikan sebarang habuan dunia (ghanimah – belum turun ayat berkenaan pembahagian harta perang sebelum berlakunya perang Badar). Berperang hanya semata-mata mahu menegakkan agama Allah. Dan golongan ini yang disebut-sebut dan dipandang tinggi tahap keimanan mereka serta diampunkan dosa-dosa mereka yang telah lalu dan akan datang. Mereka itulah ahli Badar, pendokong terawal dakwah Rasulullah.

Hidup ini adalah perlumbaan. Perlumbaan untuk meraih syurganya. Maka jangan dikeluh kesahkan setiap apa yang telah dikorbankan. Kerana sesungguhnya ia memang patut kita korbankan. Bukankah ia sebenarnya hanyalah pinjaman dari Allah? Bahkan telahpun dibeli oleh Allah dengan syurgaNya? Ibarat pembeli yang turut memberikan modal perniagaan kepada si peniaga dan mahu dibeli pula barang jualannya. Perniagaan yang tidak rasional di pandangan mata manusia tetapi itulah hakikatnya. Sebuah perniagaan yang tidak ada lain yang lebih menguntungkan. ‘Tender’ perniagaan yang cuba mendapatkan kontrak menjadi golongan ‘Assabiqun’. Bagi meraih keuntungan menjadi golongan ‘Assabiqun’.

Dari Abu Hurairah, bahawasanya Rosulullah s.a.w. bersabda : “Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk kebaikan maka baginya pahala seperti pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dari sedikitpun pahala mereka…” - (HR. Abu Dawud)

Bayangkanlah pahala yang mengalir bagi golongan ‘Assabiqun’ ini...