November 19, 2009

Ajarkan aku erti ketabahan

Rasanya seperti sudah lama mahu berkongsi tentang kisah ketabahan ini tapi baru saat ini tangan tergerak untuk menaip. Sungguhlah tak sama medan berangan-angan itu dengan medan bercakap.. Lagilah tak sama medan bercakap dengan medan beramal... Boleh sambung lagi kepada sesiapa yang tahu quotation yang famous ni.

Baiklah..ajarkan aku tentang ketabahan.

Sangat banyak yang saya belajar tentang ketabahan ini dari seorang wanita. Melaluinya saya belajar tentang tidak mengadu domba (atau dalam bahasa inggerisnya = whining), melaluinya saya belajar tentang erti kepayahan hidup, kebergantungan yang teramat kepada Pencipta, berkeyakinan, redha dengan takdir, tidak bergantung harap kepada manusia, meneruskan hidup membesarkan anak-anak yang sedang berada pada peringkat tumbesaran yang sangat mencabar walau tanpa bantuan seorang lelaki bergelar suami juga keluarga terdekat.

Saya yakin, kisah kehidupan kecilnya sangat banyak membantu dalam membentuk dirinya menjadi insan setabah itu. Pernah hidup di zaman susah kedatangan tentera Jepun, harus menempuh perjalanan berkilo-kilo meter untuk ke sekolah menimba ilmu walau dalam apa jua keadaan pun, menumpang lori, naik teksi, jalan kaki etc etc...

Saat dia kehilangan suami, 3 dari 5 anaknya di universiti, seorang di sekolah menengah manakala yang terakhir masih belum mengenal erti persekolahan. Saat itu, walaupun banyak yang tidak saya tahu, saya pasti tersangat banyak kepayahan yang beliau alami. Ada saatnya beliau menangis tapi tidak pernah tertunjuk di hadapan anak-anaknya.. Kehidupannya sentiasa kelihatan tenang walau saya tahu terlalu banyak benda yang berlaku yang boleh membuatkan hatinya berkecamuk. Tapi seperti yang saya katakan tadi, jarang sekali rasa kecamuk itu tertunjuk.

Melaluinya, saya tidak tahu bagaimana seharusnya seorang wanita itu bergantung kepada insan bernama lelaki atau lebih layak lagi dikatakan mereka yang bergelar suami. Saat suaminya pergi menghadap Ilahi, bapanya sudah cukup tua untuk menolong anaknya ini. Adik beradiknya juga punya cerita-cerita sendiri. Akhirnya tinggallah beliau seorang diri untuk meneruskan kehidupan keluarganya yang ditinggalkan suaminya. Banyak yang saya perhati, cabaran demi cabaran yang dilalui mengajarkan saya banyak erti hidup yang telah saya perkatakan tadi.

Saya tak tahu apakah saya sudah cukup berbakti padanya tapi saya yakin, saya tidak akan pernah mampu untuk membalasi segala jerit payahnya. Malah saya akui saya masih banyak kelemahan diri yang terkadang banyak menyumbang kepada kesusahan hidupnya. Saya hanya mampu berdoa agar Allah akan membalasi insan yang saya cintai ini dengan syurga. Kerana telah banyak kepayahan yang dilaluinya..ya Allah, izinkanlah syurga itu dihiasi untuk dia...

Beliau juga sering berpesan kepada anak-anaknya..Selalu doakan untuk bapa kerana dia sudah tiada. Makanya tiada apa lagi balasan secara fizikal yang mampu untuk diberi kepadanya. Hairan, seingat saya beliau tidak pernah meminta doa untuk dirinya sendiri tetapi sering menyuruh berdoa untuk suaminya.. Ya, mungkin itu salah satu bukti cintanya yang sentiasa ada, tidak pernah luput walau jasadnya sudah tiada..


*doa menarik yg saya jumpai setelah meng'google' doa untuk ibu bapa..

-DOA UNTUK IBU BAPA-

Ya Allah
Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahlah ucapanku di depan mereka
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkan hatiku untuk mereka

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas
didikan mereka padaku dan Pahala yang besar atas
kesayangan yang mereka limpahkan padaku,peliharalah
mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan
atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku
atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku
jadikanlah itu semua penyebab susutnya
dosa-dosa mereka dan bertambahnya pahala kebaikan
mereka dengan perkenan-Mu ya Allah
hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan
kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi
syafa'at untuk mereka,sehingga kami semua berkumpul
bersama dengan santunan-Mu di tempat kediaman
yang dinaungi kemulian-Mu, ampunan-Mu serta rahmat-Mu... .

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha
Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah
yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.

Amin Ya Rabbul Alamin..

No comments: