January 16, 2006

AKU IZZAH...

Hangat titisan air mata masih lagi terasa membasahi pipi.. Tak henti-henti lagi sejak dari tadi. Bilalah baru aku boleh terima kenyataan ni? Peliklah aku ni..Lulus, nangis, kalau gagal? Lagilah meraung agaknya..Isk dasar manusia yang tak bersyukur aku ni. Keputusan peperiksaan yang menyatakan aku lulus dan layak menyambungkan pelajaran, dah seminggu keluar. Tapi aku? Masih lagi begini menangis kesedihan.. Bukan aku sedih kerana dapat melanjutkan pelajaran tapi aku sedih kerana tempat untuk aku melanjutkan pelajaran itu bukan tempat yang aku mahu! Tak pernah terlintas pun di fikiran aku untuk belajar di luar negara walau sekelumit pun...

Cis, semua ni Zahar punya pasal lah! Kalau bukan kerana dia, mesti aku akan meneruskan pembelajaran aku di UTM dalam tahun asas jurusan kejuruteraan awam dua tahun lalu. Jika keputusan baik, aku boleh terus melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di mana-mana universiti dalam negara yang memberikan tawaran. Kenapalah dia mesti mengekori dan terus menganggu hidupku? Aku ingatkan lepas sekolah bayangannya boleh terus lenyap dari hidupku. Tak sangka pula dia pun dapat tawaran membuat kos tahun asas di UTM itu sama dengan aku. Menyesal aku berboyfriendkan dia masa kat sekolah dulu. Manalah aku tahu yang dia tu gila. Dia yang lupakan aku lepas tamat SPM dulu. Lepas 3 bulan menyepikan diri tanpa khabar berita meninggalkan aku keseorangan menagih simpati darinya, ada hati pula nak kan aku balik bila berjumpa kembali di UTM. Cis! Disebabkan oleh ingin melarikan diri dari dialah aku terima tawaran untuk membuat kos persediaan ke luar negara di Kolej KL. Kalaulah bukan kerana dia, sudah pasti pembelajaran aku di UTM dulu tidak akan terganggu...

“Isk macam mana caranya nak hidup kat negara orang ni? Siapa nak jaga aku? Macam mana dengan Daniel? Daniel? Ha’ah Daniel buah hatiku!” Hatiku mengeluh sendirian sambil manik-manik air mata semakin deras membasahi pipi. Terus aku terfikirkan tentang lelaki sejati yang berjaya membuka kembali pintu hatiku yang telah tertutup untuk lelaki setelah dipermainkan Zahar. Suka-suka hati je. Bila tak nak, kita dibuang. Bila nak, dicarinya kembali. Bila tak dapat, di usahakannya juga semacam orang gila.

Luahan hati Daniel 3 bulan lalu berjaya mencairkan hatiku..Betul lah orang kata yang perempuan ni lembut hati. Ala, baru je 3 bulan kami couple..Takkan nak kene berpisah pula. Isk akan lupakah dia nanti padaku jika kami lama tak jumpa? Akan cari yang lain kah dia? Isk tak nak! “Oh Tuhan, kenapalah Daniel tak dapat ke luar negara bersama dengan aku? Kenapa mesti dia tolak tawaran tu?” Ya, Daniel anak yang baik. Dengan penuh rasa tanggungjawab dia menolak tawaran itu semata-mata kerana ingin menjaga bapanya yang uzur dan adik perempuannya pula masih belajar. Penyakit gout bapanya yang baru dikesan setahun yang lepas semakin menjadi-jadi. Itulah yang merisaukannya. Tambahan pula, dia ketandusan kasih sayang seorang ibu kerana ibunya pergi menghadap Ilahi ketika melahirkan adiknya. Ketika itu, umurnya baru sahaja mencecah 3 tahun. Jadi, ayahnya lah yang menjadi ibu dan ayah kepada mereka dua beradik sejak dari itu. Ah, kasihan Daniel...

********************************************

“Izzah, buatlah checklist. Check semua barang dah ada ke belum.”
“Baik ma..” aku menjawab ringkas di atas arahan mama itu.. “Ma, Izzah tak nak pergi ma..Izzah tak nak belajar kat luar negara. Tempat asing yang Izzah tak tau macam mana kehidupannya. Tempat yang di dominasi oleh orang kafir ma..Dekat Malaysia ni, mama dan abah ada. Boleh jaga Izzah dari bergaul dengan budak-budak yang tah apa-apa tu. Izzah tak tau apa yang akan terjadi pada Izzah nanti!” Kalaulah aku mampu meluahkannya.... Aku teringat suatu ketika dahulu, mama melarangku dari berkawan dengan Mas kerana melihatkan pakaiannya yang terlalu seksi dan rambutnya yang diblonde. Walaupun kami boleh dikatakan sebagai sebuah keluarga yang agak berada, namun batas-batas agama tetap dititikberatkan. Solat lima waktu, amat abah dan mama tekankan kepentingannya.
Kasihan pula pada mama dan abah nanti. Aku tak nak menyusahkan mereka. Walaupun aku tahu yang abah mampu untuk menanggung pelajaranku walau tanpa bantuan biasiswa sekali pun, aku tetap tak mahu menyusahkan mama dan abah. Akulah satu-satunya harapan mereka. Telah banyak wang yang digunakan untuk membiayai penghidupanku sepanjang sembilan belas tahun ini. Cukuplah..Biarlah aku kurangkan sedikit beban mereka. Menyedari air mataku bertakung lagi, aku bingkas bangun meninggalkan mama dan abah menonton diari Akademi Fantasia, rancangan kegemaranku. Mereka agak terpinga namun membiarkan aku berlalu pergi. Mungkin pada fikiran mereka, aku teringatkan sesuatu untuk ditambahkan ke dalam checklistku.

Kuhempaskan diri di atas tilam yang empuk sambil ditemani oleh Danny, teddy bear besar pemberian Danniel sempena harijadiku yang ke-19 sebulan yang lalu. Danny pula ditemani oleh beberapa lagi teddy bear-teddy bear lain yang dibeli oleh mama dan abah yang sememangnya mengetahui kegemaranku. “Ish cukuplah tu Izzah!! Sampai bila baru kau boleh terima kenyataan ni?!” bentak hatiku.. Aku dah tak tahan dengan sikapku yang masih belum boleh menerima kenyataan ini. “Tettt..tettt...” Isk harap-harap mesej dari Daniel.. “Izzah...jangan tinggalkan Daniel.How could I live without you by my side dear?” Berderai takungan air mata yang ku tahan sedari tadi. “Izzah pun tak mahu pergi but I have no choice....” kubalas ringkas, tak mampu untuk berfikir lagi.

*********************************************

“Izzah, jaga diri elok-elok di tempat orang nanti ye. Izzah seorang anak mama dan abah. Jangan hampakan kami. Kami sayangkan Izzah.”
“Betul tu Izzah..Abah sayangkan Izzah. Kalau ada ape-ape, tak cukup duit ke, bagitau je kat abah tau. Nanti abah telefon Izzah every weekend.”
Pesan mama dan abah masa menikmati hidangan makanan di Mc D sementara menunggu waktu untuk aku berlepas dalam 2 jam lagi. Entah mengapa Filet-O-Fish dan Chocolate Sundae kegemaranku, tidak kelihatan menyelerakan seperti selalu. Hanya sedikit yang mampu aku jamah. Selebihnya aku tolak kepada abah untuk habiskan. Itulah rutin biasa kalau aku tak mampu untuk habiskan makanan di meja makan. Tapi selalunya, abah yang ambil sendiri jika dia nampak aku dah habis makan tapi makanan masih berbaki. Namun kali ini, aku pula yang mendahuluinya.

“Tettt..tettt...”. “Izzah, can we meet? Kejap je. Daniel dekat luar ni. Betul-betul kat depan pintu masuk Mc D.” Perhubungan kami dirahsiakan. Ini atas permintaanku. Aku takut abah marah jika dia tahu. Maklumlah, pergaulan dengan lelaki juga terbatas. Mama dan abah tak suka jika tahu aku berkawan rapat dengan lelaki. Tapi, biasalah. Mana tahan tengok kawan-kawan seangkatan hampir semuanya berpunya. Lagipun, bukannya aku layan semua lelaki yang cuba menagih kasih aku. Aku pandai memilih sebagaimana yang telah dididik oleh mama dan abah dalam memilih kawan. Heh tapi dalam bab ni, taklah aku minta pandangan mereka. Mahu kena marah nanti. Pandai-pandai manipulasi ilmu memilih kawan tu dalam memilih pasangan, cukuplah kan.

“Izzah!” Aku terkejut apabila tanganku ditaut dari belakang. Inilah kali pertama tanganku dipegang oleh insan yang bernama lelaki selain abah. Ya, Daniel lah lelaki pertama itu. Aku terdiam seribu bahasa. “Daniel nak Izzah tahu yang Daniel sayangkan Izzah lebih dari diri Daniel sendiri. Daniel tahu yang Izzah tak mampu untuk tidak pergi jauh dari Daniel. That’s why I’m here. To see you flying far away from me. One thing that I want you to know, I’ll be waiting for you...” Dengan pantas aku menarik tanganku dan mengalihkan pandanganku yang berkaca jauh dari wajahnya. Mungkin dia faham. Lantas dia menghulurkan kepadaku sekalung beg kertas yang berisi. “Thanks Daniel.” Hanya itu yang mampu aku ungkapkan di saat itu lalu aku melihatnya berlalu pergi. Ku kesat air mata yang mula mengalir lalu masuk ke dalam Mc D mencari mama dan abah yang duduk di meja di sebalik tiang besar itu. Dari kedudukan itu, mustahil mereka dapat melihat adegan aku dan Daniel tadi.

“Aik pergi toilet tangan kosong, balik dengan paper bag pulak?” Tanya mama kehairanan.
“Takde, tadi lepas ke toilet Izzah beli something untuk buat mengunyah masa dalam flight nanti.” Wah, aku dah pandai berbohong! Mama, sorry... Izzah tak berniat nak menipu,tapi.... Aku sendiri bingung dengan keadaan. Sementara menunggu abah ke pusat penukaran wang asing dan mama leka menelek beg pakaianku, aku capai telefon bimbitku lalu memicit-micitnya.
“Thanks for everything Daniel. Tunggu Izzah...” Mesej terakhirku untuk Daniel sebelum aku berlepas ke US.

**************************************************

“Izzahtul Nadiah binti Mohd Adam?” sapa seorang wanita yang manis bertudung labuh setelah melihat aku terpinga-pinga bersama troli yang sarat dengan beg-begku untuk beberapa minit.
“Saya, Farah Yasmin Md Zaki. Pelajar tahun tiga jurusan kejuruteraan awam di Massachusetts Institute of Technology merangkap senior awak. Boleh panggil akak kak Farah.” Terangnya sambil menguntum senyuman kepadaku. Wajah hitam manisnya kelihatan cantik dengan diapit oleh dua lesung pipit di kedua-dua belah pipi yang menyerlahkan lagi keayuan wajahnya. Raut wajahnya yang tenang itu berjaya menenangkan hatiku yang agak resah. Maklumlah, inilah kali pertama aku menjejakkan kaki di bumi asing ini. Tambahan pula, hanya aku dan Daniel yang mendapat tawaran ke universiti ini. Kalaulah Daniel terima tawaran tu, mesti dia boleh jaga aku kat sini. Tapi sayangnya... Ahhh takdir takkan berubah.

Aku menuruti langkah Kak Farah menuju ke kereta. Semua urusan tempat tinggal aku di sini, telah diuruskan oleh pihak penaja. Maklumlah, aku seorang sahaja yang tercampak ke sini. Ramai rakan-rakanku yang lain mendapat tawaran dari universiti di Texas di mana aku juga ditawarkan tempat. Namun, abah membuatkan keputusan untuk aku agar menerima tawaran dari Massachusetts Institute of Technology. Lebih terkenal katanya.

“Em nak panggil Izzah atau Nadiah ye?”
“Izzah...” kubalas sambil tersenyum.
“Eh kenapa tersenyum pula ni? Lucu ye soalan akak?”
“Takde, parents dan kawan-kawan semua panggil Izzah. Terasa lucu pula kalau ada yang panggil Nadiah. Janggal bunyinya..”
“Ooh ingatkan ape tadi. Em kalo macam tu akak panggil Izzah, Nadiah la. Special sket. Akak jadi lain dari yang lainlah nanti. Ok tak kalau macam tu?”
“Ish taknaklah. Girlish sangatlah bunyinya. Kalau Izzah, tough sikit bunyinya.” Aku menerangkan kepadanya dengan bersungguh.
“Ala ok ape. Hehe takdelah, akak main-main je. Saje nak usik Izzah. Izzah tinggal di mana ya di Malaysia?”
“Rumah Izzah kat KL, Jalan Kia Peng. Kak Farah orang mane?”
“Kampung akak dekat Pahang tapi kami sekeluarga tinggal dekat Perlis sejak 2 tahun yang lalu. Sebelum tu kami tingal di Taman Sri Andalas, Klang.” Jawabnya sambil memutar stereng kereta Mazda Altis yang dipandunya.

Kak Farah pandai mengambil hati. Peramah orangnya. Mudah untuk aku bergaul. Walaupun pada pandangan pertama, aku fikirkan yang kami semestinya tidak sekepala memandangkan cara pemakaiannya yang ayu berbaju kurung dan bertudung labuh. Aku? Sekadar berskirt labuh, berbaju kemeja ketat yang dilitupi oleh blezzer dan bertudung bawal yang diselitkan di kedua-dua belah bahu. Namun, sangkaanku meleset. Dalam masa 40 minit perjalanan ke tempat kediaman dari lapangan terbang, telah banyak yang kami bualkan. Sekolah di mana, anak ke berapa, emak ayah kerja apa, semuanya telah kami kongsi bersama. Tak sangka aku yang Kak Farah ni rupanya dahulu bersekolah di MGS (Methodist Girl School) Klang. Mendengarkan namanya sahaja dah boleh bayangkan bagaimana keadaan sekolahnya. Aku yang bersekolah di sekolah berasrama penuh yang dikatakan menitikberatkan soal agama ni pun tak sealim dia. Ish tapi alim tu kan subjektif untuk diterjemah. Aku sembahyang cukup lima waktu ape...

“Ni lah rumah kita. Rumah ni ade tiga bilik. Satu bilik kosong sebab penghuninya, Kak Aisyah, dah tamat pengajian tahun lepas. Tu yang agaknya En Omar tempatkan Izzah disini tu. Untuk memenuhi kekosongan rumah ini menceriakan lagi hidup kami.” Seloroh Kak Farah sambil menolongku mengangkat beg pakaianku. Aku hanya tersenyum mendengarkan selorohannya itu. Setibanya di hadapan pintu pagar, pintu rumah dibuka oleh seorang perempuan yang berblouse labuh. Kepalanya dilitupi dengan sehelai tuala besar yang menutupi rambutnya.

“Haa ni Kak Sofia. Sofia, ni Nadiah eh Izzah.” Terang Kak Farah sambil menjeling ke arahku. Aku membalas jelinganan manjanya itu dengan menyiku lengannya.
“Ish awak ni Farah, suke sangat sakat orang ye? Em dah tu errr Nadiah ke Izzah?”
“Izzah...”
“Ha Izzah..Dah tu, jangan layan sangat Kak Farah kamu ni. Jom masuk.”
Kami ketawa kecil sambil melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah yang sederhana kecil itu.

Selesai menunaikan solat Zohor dan mengemas barang-barangku, Kak Farah mengetuk pintu bilikku dan masuk setelah aku mengajaknya. “Dah habis kemas? Jom makan..” Kak Farah menarik lenganku sejurus sahaja aku meletakkan Al-Quran pemberian mama di atas meja studyku.

Setelah selesai makan, Kak Farah dan Kak Sofia membawaku ke universiti untuk pendaftaran sambil-sambil memperkenalkan aku serba sedikit tempat di universiti itu. Aku telah diajar oleh Kak Sofia bagaimana caranya untuk ke universiti dengan menaiki bas. Em mudah sahaja pada fikiranku. Tak semacam di Malaysia yang kulihat banyak bas-bas awam kelihatan uzur dan sungguh sesak dipenuhi penumpang kerana ketidaktentuan waktu perjalanan bas. Err tapi aku mana pernah naik bas awam. Mahu kemana-mana pun mama dan abah yang hantarkan. Sewaktu di asrama dulu kalau outing, aku selalu mengambil teksi sahaja bersama teman-temanku. Lagipun aku jarang keluar outing. Malas.. Kalau tak boleh balik rumah, aku lebih suka meluangkan masa hujung mingguku dengan menelaah pelajaran atau membaca novel. Sewaktu di Kolej KL jangan cakaplah. Setiap hujung minggu pasti mama dan abah akan jemput balik. Ahh rindunya aku pada mama dan abah...Ish baru 2 hari kat sini..isk

“Hai ape yang difikirkan tu Izzah?” Tersentak aku apabila dicuit Kak Sofia dari belakang.
“Err takde pape.. Em besar jugak universiti ni ye. Dekat sini, selalunye Kak Sofia dan Kak Farah sembahyang dekat mane?”
“Ooh..Jangan risau. Dekat sini ade surau. Kita nak menuju ke sane lah ni. Surau ni baru je kita dapat dua tahun lepas semasa kami berada di tahun satu. Penat jugaklah kami fight untuk dapatkannya. Alhamdulillah dengan izin Allah, kami dapat sebuah bilik untuk dijadikan surau. Tu yang kita kene jaga elok-elok tu.” Terang Kak Sofia bersungguh. Kak Farah mengangguk.
“Ha dah sampai pun. Jom kita solat Sofia. Asar dah lama masuk ni.” Kata Kak Farah sambil menguak pintu surau itu.

MasyaAllah, luasnya. Lebih luas dari surau di Kolej KL dulu. Siap dengan dapur dan tandas lagi tu. Kagumnya aku. Di Malaysia yang dikatakan sebuah negara Islam itu pun, jarang sekali untuk aku temui surau yang seselesa dan selengkap ini. Apakah ini bermakna lagi sedikit kuantiti sesuatu itu, lagi ia dihargai? Di bumi Allah yang majoritinya orang kafir ini pula umat Islam lebih kuat bersatu-padu. Pasti besar usaha yang mereka lakukan untuk mendapatkan surau ini. Subhanallah...

*************************************************

Jarak yang jauh tidak menjadi halangan untuk aku berhubungan dengan Daniel. Telefon, emel, friendster, MSN messenger, semua bentuk rangkaian perhubungan kami manfaatkan. Ish rindunya aku padanya. Hanya gambar, sebuah teddy bear kecil dan sekeping kad yang terisi di dalam beg kertas yang diberinya sewaktu di lapangan terbang menjadi pengubat rinduku padanya. Aah tak sabarnya untuk pulang pada hujung tahun ni. Cepatlah masa berlalu...

“Tukk..tukk...” Pintu bilikku diketuk. Bingkas aku bangun menyimpan semula gambar Daniel yang berada di genggaman sedari tadi.

Kak Farah membuka pintu setelah aku memanggilnya masuk. “Izzah dah boleh solat?”
“Dah, baru je mandi tadi. Tapi Izzah tak sembahyang zohor lagi.”
“Em kalau macam tu, jom kita solat berjemaah sama.”

Ek jemaah? Kali terakhir aku solat secara berjemaah pun mase dekat kolej dulu. Itupun sebab ada buat solat hajat sempena nak menghadapi peperiksaan akhir. Kalau tak, jangan haraplah aku nak turun ke surau. Di ruang tamu kelihatan Kak Sofia baru sahaja selesai memberi salam. Sembahyang sunat agaknya. Sejadah untuk sembahyang berjemaah lengkap untuk 3 orang sudah terbentang menghadap kiblat. Lekas Kak Sofia bangun melaungkan iqamah dan Kak Farah mengimami solat zohor kami pada hari itu setelah aku menolak pelawaannya untuk menjadi imam.

“Izzah, jom bersiap. Kita pergi rumah Kak Zeti, kawan kitorang. Seuniversiti dengan kite jugak. Dia pun dapat housemate baru. Dua orang lagi. Dengar cerita satu batch dengan Izzah. Tapi mungkin dari sponsor lain. Ha boleh kita berkenal-kenalan nanti. Em mesti diorang dah siap masak untuk kite kan Sofia kan?” Kak Farah mengenyitkan matanya kepada Kak Sofia.
“Hihi takdelah, saye memain je. Nanti kite singgah belikan ayam panggang bawa ke rumah diorang.”

**********************************************

Hari ini kelas pertama aku. “Alamak, susah betullah nak faham apa yg mat saleh ni cakap. Slang bukan main lagi.” Aku mengomel sendirian.. Walaupun sudah hampir satu jam kuliah berlalu, aku masih lagi terkial-kial menangkap bait-bait perkataan yang dibebelkannya. Ish, tak sesenang tengok ER atau Friends rupenye. Ingatkan senang je nak faham apa yang diorang cakap kalau dah banyak kali tengok ER, Gilmore Girls, Smallville dan Friends...Isk lain rupenye..

“Today is my first class. Isk, susahlah Daniel. Izzah tak dapat nak catch up lecture tadi..” Hampir setiap apa yang berlaku padaku, aku laporkan kepada Daniel. Aku tak mahu Daniel ketinggalan setiap apa yang terjadi di sini. Yang penting sekali, aku tak mahu dilupakan. Tapi Daniel memang baik. Memang dari dulu lagi aku dilayan dengan baik. Sudah hampir seminggu aku di sini, Daniel tidak pernah ketinggalan untuk menanyakan khabarku disamping mengirimkan khabar dia dan keluarganya di Malaysia. Sudah bagai isi dengan kuku. Kami saling memerlukan.

“ Ha, how was your first class? Seronok?” Teguran Kak Zeti yang diiringi dengan tepukan manja dari belakang, mengejutkan aku. Sambil menekan butang Send, aku mengerutkan dahi dan memberikan jawapan,
“Ish tak fahamlah kak..Ntah ape-ape tah yang lecturer tu bebelkan tadi..Berkerut-kerut dahi Izzah nak fahamkan ape yang die cakap. Tak faham-faham jugak Izzah..”
“Hihi kelakarlah Izzah ni. Em biasanya first few days memang macam tu. Akak dulu pun, siap buka-buka kamus lagi depan lecturer nak jawab soalan. Padahal baru sesi berkenalan je tu..hihi.” Aku turut tertawa mendengar jawapan Kak Zeti.
“Eh dah azan. Izzah dah ambil wudhu’?” Aku menggeleng lantas bangun ke tempat wudhu’. Wah efficient betul. Baru je 5 minit masuk waktu Zohor rasanya, dah ada yang azan. Mungkin muazzin yang dilantik oleh MIT Muslim Students’ Association agaknya.

Dekat surau ni lah aku dapat kenal pelajar-pelajar Malaysia yang lain. Boleh la dikatakan ramai juga. Setelah berborak-borak dengan yang lain, barulah aku tahu yang azan dan mengimami jemaah semuanya adalah dilakukan secara sukarela oleh pelajar-pelajar universiti ini. Ish kalau kat Malaysia, jarang ada macam ni. Kat kolej dulu, sembahyang asing-asing je semua. Ni pun kadang-kadang je aku dapat sembahyang jemaah. Selalunya ada kelas masa zohor dan asar. Di rumah pula, kalau aku berseorangan sewaktu Kak Farah dan Kak Sofia tiada, pasti aku tak berjemaah.

*********************************************

“Minggu depan mid-sem break. Kalau kita pegi piknik kat Crane Beach nak tak? Cantik tempat tu.” Kak Farah mengajak.
“Em macam best jer. Izzah pun nak jugak jalan-jalan kat tempat orang ni. Bile lagi ye tak? Nak harapkan pergi sendiri, ntah bila-bilalah agaknya..” Luah aku pada Kak Farah.
“Hmm betul-betul..Kak Farah ni dah tiga tahun duduk sini, dah merata pelusuk US dah akak pegi..Heh takdelah semua tempat. Akak exaggerate je. Em tapi tu lah, dah alang-alang kita ada dekat tempat orang ni, baik kita manfaatkan. Selalunya akak dan kawan-kawan pergi ke tempat-tempat yang kawan-kawan kami ramai ada. Saje lawat kawan-kawan sambil jalan-jalan. Sambil jalan-jalan, kita timba ilmu. Dalam surah Al-Haj ayat 46 pun, Allah ada kata pasal jalan-jalan ni. Ala bak kata pepatah melayu, jauh perjalanan luas pemandangan. Betul tak?”
“Ek betul-betul..” Terpinga aku dengan penerangan panjang lebar Kak Farah. Tapi memang betul pun apa yang dia cakap. Wah, kagum aku. Siap tahu dalil al-Quran lagi. Walaupun aku dah berkali-kali khatam al-Quran, tak pernah aku hafal maksud ayat-ayat suci itu.

“Akak, nak pinjam tafsir boleh?” Pantas aku bertanya sebelum Kak Farah menutup pintu bilik air seetelah lama kami berborak panjang.
“Ambillah dekat atas meja study akak..”

*************************************

“Em cantikkan beach ni? Hari ni bukan public holiday, so kurang sikit orang.. Kurang dosa......” kata-kata Kak Farah terhenti apabila terlihatkan seorang lelaki mat saleh yang hanya berseluar pendek berlari menuju ke laut.
“Ish baru je cakap..Kite datang nak tengok keindahan ciptaan Allah. Diorang ni mencacatkan pemandangan kite pulak. Em takpe-takpe, jage pandangan ye semua orang.” Jerit Kak Farah yang lantas membuatkan kami tertawa.

Hmm ramai juga yang ikut. Sampai muat dua van besar. Kak Zeti dan dua orang housmate barunya pun ada sekali. Ramai jugak rupanya rakan-rakan seangkatan dengan aku yang baru sampai. Tak kenal sebab kami dari kolej persediaan yang berlainan. Nabilah, Dila, Nina, Iman, Azwin, Farhana, Kak Ain, Kak Sha, Kak Aishah, Kak Yan, Kak Zaimah, kak... Isk ramai sangatlah. Tak boleh nak ingat semua. Walaupun baru sahaja berkenalan dan nama pun tak habis hafal lagi, kami semua mudah untuk berbicara antara satu sama lain terutamanya dengan kakak-kakak senior. Makan bersama, bermain bersama, solat berjemaah bersama.

Sewaktu hari sudah lewat petang, kami berkumpul semula untuk menikmati pemandangan matahari terbenam. Subhanallah, sungguh indah ciptaan Allah. Sungguh menakjubkan bagaimana warna jingga matahari menghilang sedikit demi sedikit bertukar menjadi ungu gelap. Tak sabar rasanya nak menghadap komputer untuk menulis emel menceritakan pengalaman hari ini pada Daniel.

Setelah selesai solat maghrib, Kak Farah berdiri di menghadap kami. Ada majlis penutup katanya sebelum balik ke rumah. “Fuh cayalah.. Piknik-piknik pun ada majlis-majlis penutup.” Aku mengomel dalam kekaguman sendirian. Kak Farah memulakan bicaranya,

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan selamat. Heh walaupun kentang goreng tak berapa cukup, namun pengalaman yang kita dapat hari ini sangat menarikkan? Disamping dapat melihat keindahan alam ciptaan Allah, dapat juga kita berkenal-kenalan antara satu sama lain. Siapa sangka orang yang kita tak pernah kenal sebelum ni, boleh je makan sedulang dengan kita kan? Alhamdulillah...Harapnya tautan ukhuwah yang baru terbina ni akan berkekalan dengan izin Allah.. Umat islam ni ada tiga kekuatan. Yang pertama iman, yang kedua ukhuwah dan yang ketiga material. Ini membuktikan betapa pentingnya ikatan ukhuwah itu. Jadi, besarlah harapan akak sekiranya bukan takat di sini sahaja kita berkenalan. Ha kalau hari ini, kita tahu kawan tu asal dari mana, lepas ni kita tanya pula mak ayah dia asal dari mana. Pakcik makcik tinggal kat mana..ha mana tau sekali tengok-tengok rupanya saudara bau-bau bacang kita.” Dalam suasana yang sunyi, kak Farah sempat berseloroh.
“Baiklah, hmm baru mukaddimah je tu..hihi. Em ok, hari ni akak nak cite pasal perkara yang paling basic sekali sebagai manusia, makhluk Allah yang mulia. Apakah tujuan hidup kita sebenarnya. Kalau kita tanya kat orang-orang kafir ni, mesti tergaru-garu kepala diorang nak jawab. Dah habis garu pun, belum tentu dapat jawab lagi...Tak percaya, cuba tanya. Akak pun pernah juga tanya dekat sorang kawan akak ni yang ‘free thinker’, “what’s your purpose of life then?”. Hmm terdiam dia tak jawab. Tapi yang sedihnya, ada segelintir umat islam sendiri pun tak dapat jawab soalan mudah ni. Dalam Al Quran ada jawapannya. Sedihkan, kita dapat al-quran dari kecil lagi. Tapi still ada sesetengah tu yang taktau apa tujuan hidup. Untuk apa hidup? Mencari harta semata? Pangkat? Nama? Dalam surah adh dhariyat ayat 56, Allah berfirman “Wamaholaqtuljinna walinsailla liya’buduuun” yang bermaksud, “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah aku”. Hah, kan dah ada jawapannya tu. Itu tujuan kita hidup iaitu beribadah kepada Allah semata-mata. Hish kak Farah ni. Habis tu takkan 24 jam nak duduk atas tikar sejadah je. Tak hidup la kalau macam tu. Ha ade pulak yang fikir macam tu nanti. Jangan sempit kat fikiran kita. Jangan tengok ibadah tu sebagai solat semata-mata. Kita makan, bekerja cari rezeki pun ibadah juga. Yang penting niat kerana Allah dan tidak berlebih-lebihan. Bukannya makan sampai tak larat nak bangun dan terlewat solat. Bukannya cari rezeki dengan berniat untuk membesar rumah, kereta, badan semata. Cuba kita tengok balik kalimah yang kita lafazkan yang menjadi bukti keislaman kita. “Laaillahaillallah..”, tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Pernah ada seorang hamba Allah ni bagi tazkirah dia cakap, ada sahaja manusia yang apabila ia solat maka ia mempersekutukan Allah, apabila ia bersedekah maka ia mempersekutukan Allah, apabila ia menuntut ilmu maka ia mempersekutukan Allah, apabila ia bersahabat maka ia mempersekutukan Allah. Kerana apa? Kerana ia melakukan semua ini bukan kerana mengharapkan redha Allah, tetapi kerana ingin mendapatkan redha manusia. Kalau kita tanya, kenapa sembahyang? Ish kalau tak sembahyang nanti orang pandang serong kata kita jahat. Kenapa sedekah? Nanti orang senang percaya kat kita. Kenapa kawan dengan dia? Sebab dia lawa. Nanti orang pandang dia, orang pandang aku sekali. Ish nauzubillah.. Sebab tu kalau kita nak buat apa sahaja, kita kene niatkan yang semuanya kerana Allah. Apa sahaja yang kita buat hanyalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Kalau kita berpegang pada konsep ni, insyaAllah kita akan tahu yang mana sebenarnya kita boleh buat dengan yang kita tak boleh buat. Kalau layan linkin park, agak-agak boleh tak diniatkan kita dengar lagu-lagu diorang ni untuk mencari keredhaan Allah. Tengok movie, Naruto, Anuar Zain, baca Cleo, bercouple. Boleh ke kita kata yang kita buat semua tu kerana Allah, untuk mencari keredhaan Allah? Agak-agak Allah redha ke kalau kita menjalinkan hubungan dengan lelaki bukan mahram tanpa ikatan pernikahan yang menghalalkan? InsyaAllah kita sendiri boleh jawabkan. Cuba kita fikir balik, kita ini betul-betul islam tak? Islam kita ni sekadar kata nama atau kita buat sebagai kata kerja? Ape bezanya ek? Hmm cuba kita tengok kalau kita katakan ‘lari’ sebagai kata nama. Kita kata, saya lari. Tapi kita tak lari pun. Ha tu maksudnya nama kita Lari. Lari binti Laju agaknya. Ha nampak tak beza dengan lari kata kerja? Maknanya kita berlari betul-betullah kan.”

“Couple? Mengucap? Laillahaillallah...?” aku terdiam sendirian. Aku tak dapat lagi concentrate apa yang kak Farah sampaikan. Astaghfirullahalazim.. Tidak cukup islamkah aku? Aku tak dapat berfikir panjang.. Terasa seperti dipukul dengan bantal ke muka ketika sedang khusyuk berangan. Baru tersedar dari lamunan yang panjang. Terdiam aku memikirkannya. Tanpa aku sedari, kak Farah dah pun habis bercakap dan kami semua akan berangkat pulang. Dengan lemah aku bangun menuju ke van. Aku hanya terdiam di sepanjang perjalanan. Mata yang mengantuk tidak mahu terpejam seperti ahli-ahli van yang lain yang sudah lama terlelap. Hanya kak Yan yang setia menemani kak Farah memandu di depan.

*****************************************

Sejak sampai dirumah awal pagi tadi, aku hanya memerap di dalam bilik. Kata-kata kak Farah di Crane Beach masih terngiang-ngiang lagi di telingaku. Handsetku berbunyi. Mesej dari Daniel tidakku balas. Aku dalam kekeliruan. Tiba-tiba pintu bilik diketuk.
“Boleh akak masuk?” kak Farah menjengukkan kepalanya dipintu.
“Em masuklah.”
“Best tak piknik semalam? Lain kali boleh kita buat lagi macam tu. Jalan ramai-ramai. Best kan?” kak Farah mula berceloteh.
“Em best.” Jawapku ringkas namun ikhlas.
“Kenapa ni? Penat sangat yer? Tulah, beriya sangat main buat istana pasir semalam. Mesti penat ni. Ok lah, Izzah rehat dulu ye. Kak Sofia tengah masak tu. Kejap lagi dah siap akak panggil ye?” kak Farah bingkas bangun sambil tangannya menepuk lembut bahuku.
Hampir selangkah lagi kak Farah hendak sampai ke pintu, aku memanggil,
“Akak, salah ke kalau kita bercouple?” aku inginkan kepastian.
“Ek, Izzah teringatkan tazkirah yg akak bagi malam tadi ye?”
“Em....”
“Em macam ni Izzah, istilah couple itu sendiri tak pernah wujud pun dalam islam. Tidak ada hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim yg dihalalkan dalam islam selain ikatan pernikahan. Izzah, Allah itu Pencipta kita. Therefore, Dia lebih memahami hati, perasaan dan tingkah laku kita. Dia Maha Mengetahui segala-galanya. Jadi, apa yang dibatasiNya itu, pasti ada hikmah disebaliknya. Tapi, kita buat sesuatu itu bukanlah kerana untuk mendapatkan hikmah itu tetapi hanya semata-mata untuk memenuhi perintahNya. Akak pernah terbaca sebuah artikel ni yg menyatakan bahawa cinta itu merupakan berhala alaf baru yg disembah manusia. Apa hukumnya kalau kita sembah berhala yakni sesuatu selain Allah? Syirikkan? Apa hukum syirik? Dosa besar yg teramat sangat yang tidak akan diampunkan melainkan dgn taubat nasuha. Allah akan mengampunkan dosa-dosa hambanya yang bertaubat selagi mana hambaNya itu tidak menduakanNya. Kenapa cinta itu dikatakan berhala? Yela, cuba Izzah fikir, disebabkan oleh kita cintakan seseorang itu, kita serahkan seluruh jiwa dan raga kita kepadanya. Sampaikan ada tu yang merasakan tak boleh hidup tanpa dia. Makan tak lalu, tidur tak lena dek kerana rindukannya. Kalau boleh, setiap waktu nak jumpa. Kalau dah bergayut di telefon tu, orang azan pun dah tak peduli. Siapa yg lebih dipentingkan? Allah atau siapa di situ? Suruhan Allah dilengahkan dek kerana nak melayan si dia. Semua benda nak ikut cakap dia. Sedangkan siapa memberi mereka itu rezeki? Siapa yang memberi mereka itu nyawa untuk terus hidup? Allah s.w.t.! Allah dah siapkan peraturan dah. Semuanya lengkap dalam al-quran dan sunnah. Dalam surah An-Nur ayat 30&31 ada Allah cakap tentang pergaulan antara lelaki dan perempuan yg bukan muhrim. Tak pula kita sibuk-sibuk nak ikut semacamana kita ikut cakap dia. Ha, tak nampak macam berhala ke tu? Em kita mohon pada Allah agar kita dijauhkan dari semua itu ya Izzah...”

“Tapi macamana pula kalau kita jaga batas-batas pergaulan tu? Tak pegang tangan, tak jumpa selalu...?”

“Em zaman sekarang Izzah... Anak-anak muda dah semakin banyak yang rosak. Mula-mula dari tak bercouple jadi bercouple dek kerana melihatkan kawan-kawan lain semuanya berpunya. Kalau tak, nanti orang pandang serong semacam merendah-rendahkan. Em lepas tu, mulalah.. Bergayut di telefon, dating... Lama-kelamaan, pegang-pegang tangan. Lepas tu? Em akak sedihlah tengok rakan-rakan segenerasi akak sekarang ni. Perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemusnahan diri itu yang senang je diikut. Yang baik-baik, yang berkaitan dengan agama hatta mengajak solat berjemaah sekali pun dikatakan ekstreme. Macamana keadaan kita di masa hadapan nanti kalau pemimpin-pemimpin kita dah rosak sejak dari awal lagi? Izzah, kita tak tahu bila Allah akan tarik balik nyawa kita. Entah esok entah kejap lagi kita pergi. Kita mohon pada Allah agar diberikan kesudahan yang baik ye.. Semoga kita dipelihara dari arus kemusnahan di akhir zaman ini.”

“Em insyaAllah kak... Em akak, tolong Izzah... Bantu Izzah dalam merubah hidup Izzah. Merubah kembali kepada islam yg sebenar...”

“InsyaAllah Izzah.. Kita sama-sama berusaha untuk memohon petunjuk dan hidayah dariNya. Akak pun masih ada banyak yang perlu diubah. Kita sama-sama belajar ya?”

*********************************************

“Tettt..tett...”...
“Izzah, sampai hati Izzah buat Daniel macam ni. Apa salah Daniel? Takkan sibuk belajar sampai tak ada masa nak mesej?” Soalan Daniel tak mampu aku balas. Dah hampir 2 bulan aku tak hubunginya. Memang aku sibuk belajar. Belajar di kuliah dan juga belajar ilmu-ilmu yang sepatutnya aku belajar sejak dari dulu lagi. Banyak yang aku ketinggalan dalam ilmu-ilmu agama rupanya. Banyak yang aku pelajari dari kak Farah dan rakan-rakan. Namun, dari segi perubahan diri, aku lebih banyak belajar melalui contoh yang ditunjukkan oleh kakak-kakak serta perubahan rakan-rakan yang lain. Hassan al-Banna, Syed Qutb, Abdul Aziz ar-Rantissi adalah sebahagian dari nama-nama agung yang baru ku kenali. Alangkah hinanya rasa diri ini pabila usia sudah menjangkau 20 baru nak mengenali mereka. Baru sekarang juga aku belajar nak menelaah maksud-maksud ayat suci al-quran yang selama ini sering aku baca. Hanya membaca namun tidak mengerti akan sepotong ayat pun. 2 minggu yang lalu, kak Sofia menghadiahkan aku sebuah tafsir quran yang dikirim dari makciknya yang datang melancong sambil melawatnya di sini. Buku-buku novel yang sering kubaca di kala masa lapang juga sudah ku gantikan dengan bahan-bahan bacaan yang lain. Banyak buku kak Farah dan kak Sofia yang aku pinjam. Baru ku sedar yang aku sebenarnya ada banyak masa untuk membaca dan membuat perkara-perkara yang berfaedah. Dahulu tidak kerana banyak masaku dihabiskan di hadapan tv. Menonton rancangan-rancangan yang membawa pengaruh buruk dan menyebabkan aku lebih banyak berangan. Tidak menambahkan ilmu atau iman bahkan merosakkan! Dan jikalau dulu, aku masih berselera menjamah Mc D walaupun aku ada terdengar bahawa syarikat itu ada menyumbang kepada Zionis yang galak membunuh warga Palestin, saudara seagamaku sendiri, kini aku sudah sedar bahawa tanggungjawab memboikot syarikat-syarikat seperti itu adalah wajib jika punya alternatif lain. Jika tidak, ia diibaratkan sama seperti melapah daging saudara sendiri. Nauzubillah...

“Oh Tuhan, ampunilah aku... Berilah aku petunjuk dan hidayahMu.. Sesungguhnya telah banyak dosa yang aku lakukan ya Allah... Hanya keampunan dan rahmatMu yang dapat menebus segala dosa-dosaku itu... Selamatkanlah aku dari gelombang tipu daya syaitan di akhir zaman ini wahai Tuhan Yang Maha Pengampun...”

************************************

Terlalu banyak tuduhan yang dilemparkan Daniel. Dia menyatakan yang aku ini kejam, aku ini tak berhati perut, tak menepati janji, pembohong. Yang paling aku kesalkan ialah apabila dia menuduh aku telah berjumpa dengan orang lain dan melupakan dia. Hancur hatiku bila mengenangkan tuduhan-tuduhan itu. “Ya Allah, beri aku kekuatan...” hanya pada Allah aku luahkan segala-galanya. Aku memohon agar dia diberikan hidayah.

Tiga minggu lagi aku akan pulang ke tanah air sempena cuti summer. Terasa sungguh cepat masa berlalu. Rindu pada mama dan abah. Tapi.... macamana aku nak berhadapan dengan Daniel? Dia pasti akan terus mengangguku. “Ah, aku harus tetap hati. Aku harus izzah dengan perubahanku!” bentak hatiku.

Aku bersyukur kerana dihantar ke sini. Subhanallah, sungguh cantik percaturan Allah itu. Aku tidak merancang untuk belajar ke luar negeri, namun Dia mengetahui apa yang lebih baik untukku. DicampakkanNya juga aku ke sini. Rupa-rupanya, ada sinar yang ingin ditunjukkanNya. Kalau bukan kerana ingin lari dari Zahar semasa di UTM dulu, mungkin aku akan terus belajar di tanah air. Alhamdulillah tidak. Aku tahu betapa besarnya dugaan di tanah air itu. Terlalu sukar untuk melawan arus jahilliyah yang kuat. Terlalu sukar untuk menemui bi’ah solehah. Terlalu sukar untuk melihatkan islam yang sebenar. Maha Hebat percaturan Allah yang tidak menghantar Daniel untuk belajar bersama-samaku di sini. Jika tidak, tak tahulah apa yang terjadi padaku. Mungkin akan terus terleka dengan angan-angan dunia yang tidak akan kemana-mana. “Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu..” aku bersujud tanda syukurku yang tidak terhingga.

************************************

Kelihatan mama dan abah sudah menungguku di balai menunggu. Ah rindunya aku pada mereka...

“Assalamualaikum ma, abah...” lantas kukucup kedua-dua pasang tangan yang sekian lama kurindukan itu didahului dengan tangan mama.
“Wah, cantiknya anak mama pakai baju kurung...” kata mama sambil memeluk bahuku. “Biaselah ma, anak mama...” kami tertawa beriringan. Sedang kami menunggu abah mengambil kereta perut mama tiba-tiba memulas.
“Izzah, mama nak ke toilet kejaplah. Kalau abah dah datang, minta tunggu mama kejap ye sayang.”
“Okay ma...” balasku sambil menguntum senyuman buat mama. Tak sampai 5 minit mama beredar, abah pun sampai.
“Abah, mama ke toilet sekejap.”
“Ish mama kamu ni. Ada-ada saja.” Aku tersenyum mendengarkan jawapan abah itu.
“Em biar abah angkat beg-beg ni. Sementara tu Izzah pergi tengokkan mama tu. Tak boleh tunggu lama-lama dekat lane ni. Nanti kena halau.” Arah abah..
“Okay-okay.. Abah tunggu kejap ye.”

Aku yakin mesti mama pergi toilet yang dekat dengan surau ni. Aku terus meluru ke situ. Tiba-tiba aku terdengar satu suara yang seakan-akan aku kenal. Ya, itu suara Daniel. Macamana dia boleh tahu aku balik hari ni? Takkan tunggu aku kat KLIA hari-hari kot?? Isk.. Aku mempercepatkan langkah menuju ke toilet.
“Izzah........tunggu!”
“Izzah, mama dengar macam ada orang panggil kamulah.” Alhamdulillah, kira-kira lagi 5 langkah untuk aku masuk ke kawasan toilet, mama keluar.
“Ish mana ada mama ni. Takkan jaga troli tu kenal Izzah.. Salah orang kot... Jom mama, abah suruh cepat.” Aku berdalih sambil menarik lengan mama menuju ke kereta. Aku hanya menundukkan pandangan berharap yang Daniel tidak akan mengekori aku lagi.

“Ya Muqallibal qulub,thabbit qalbi 'ala deeniq,wa'ala to'atiq....”





No comments: